BERPUASALAH SUPAYA KAMU SIHAT
.
PENGENALAN
Tidak pernah lagi ditemui orang yang mati ataupun jatuh
sakit akibat daripada berpuasa pada bulan Ramadhan. Apabila seseorang itu
benar-benar sakit, dari awal lagi Allah swt sudah membolehkan mereka tidak
berpuasa dan menggantikannya dengan membayar fidyah seperti firman-NYA dalam
surah al-Baqarah ayat 184.
.
Amalan berpuasa juga dilakukan pelbagai flora dan fauna
di alam ini. Terdapat pelbagai situasi di mana tumbuh-tumbuhan memilih tidak
menyerap unsur fotosintesisnya. Haiwan reptilia dan mamalia juga melakukan
‘mogok lapar’ selama beberapa waktu. Selepas tempoh tersebut, makhluk-makhluk
tadi menjalani 'peremajaan sel' misalnya ular berganti kulit baru dan
tumbuh-tumbuhan memunculkan daun-daun baru yang lebih segar. Sudah menjadi
fenomena alam iaitu naluri pertama makhluk Allah dalam menjaga hidupnya apabila
terkena sesuatu penyakit adalah menurunkan nafsu makan. Mekanisma awal ini
berlaku supaya tubuh makhluk itu dapat memfokuskan seluruh tenaga miliknya
kepada memperkuatkan daya tahan tubuh tanpa perlu membahagikan tenaganya kepada
proses penghadaman dan pencernaan.
.
KESAN PUASA KEPADA SISTEM PENGHADAMAN
Organ utama yang dipengaruhi ketika berpuasa adalah
saluran penghadaman, pencernaan dan fungsi metabolik badan. Walaupun begitu
sistem-sistem lain juga ikut terpengaruh. Sistem saluran penghadaman ini
sebenarnya tidak pernah berhenti bekerja. Gerakan peristalsis yang dilakukan
usus berlangsung selama 24 jam sehari. Sedangkan rangkaian proses pencernaan
itu sendiri berlangsung selama 6 hingga 8 jam. Bererti apabila kita makan 3
kali sehari, sebenarnya perut kita memang tidak pernah berehat.
.
Terdapat beratus proses kimia dalam organ-organ
pencernaan yang beroperasi secara terus menerus dan sudah pasti memerlukan
jumlah tenaga yang besar. Dari segi penyembuhan tubuh, tindakan mengurangkan
beban pencernaan dengan merehatkan saluran penghadaman sementara waktu dapat
mengalihkan sebahagian tenaga yang digunakan 24 jam bagi proses pencernaan tadi
kepada proses penyembuhan tubuh.
Ketika sakit antara gejala umum yang kita alami adalah
menurunnya nafsu makan. Ini suatu mekanisma tubuh yang Allah swt wujudkan
supaya tenaga dapat difokuskan pada sistem imun dan tidak dipakai dalam sistem
penghadaman dan pencernaan. Sekiranya mesin-mesin mekanikal dan pesawat pun
memerlukan masa rehat, begitu juga saluran penghadaman kita.
.
Pada tahun 1975, Allan Cott dalam artikelnya “Fasting as
a way of life” mencatatkan, puasa memberikan masa rehat fisiologi menyeluruh
kepada sistem penghadaman dan pencernaan, sistem saraf pusat dan
menormalisasikan metabolisma tubuh. Tubuh manusia sentiasa merehabilitasikan
dirinya begitu juga sel-sel secara tetap mengalami proses rehabilitasi atau
regenerasi.
.
Regenerasi pada peringkat selular itu adalah proses rutin
yang bertujuan menggantikan sel-sel yang sudah lama ataupun rosak kerana
faktor-faktor seperti usia, penyakit, trauma kimia atau mekanikal, aktiviti
yang berlebihan dan sebagainya. Dianggarkan 17 juta sel lahir setiap hari bagi
menggantikan sel-sel yang sudah using ataupun mati, sama nilainya dengan 30
gram protein setiap hari. Disebabkan proses regenerasi ini, dalam setiap 4 atau
5 tahun seluruh tubuh kita sebenarnya sudah berganti baru. Diri kita bukanlah
terdiri daripada komponen-komponen fizikal yang terdahulu lagi.
.
Penyakit-penyakit degenerative wujud daripada kegagalan
proses regenerasi yang seimbang. Penyakit-penyakit seperti kencing manis adalah
bentuk kegagalan regenerasi sel-sel di pankreas. Kerosakan lain seperti sirosis
hepatitis atau infark myokard di mana jaringan hati dan dinding jantung
digantikan dengan jaringan parut. Ini adalah gambaran anatomi bagaimana proses
regenerasi sel itu gagal sehingga kerosakan organ itu sukar diperbaiki lagi.
.
Semua jenis neoplasma atau sel kanser juga adalah bentuk
lain kegagalan regenerasi, di mana kelajuan pertumbuhan dan perkembangan sel
yang mengalami anomaly itu tidak dapat dikendalikan dengan wajar. Sebarang
penyakit cepat pulih apabila proses regenerasi ini berlangsung dengan baik dan
sempurna. Regenerasi yang berlaku dengan optimum, efektif, efisen dan pada
kadar yang tetap adalah prasyarat tubuh yang sihat dan terpelihara dengan baik.
.
Tepat sekali apabila Rasulullah s.a.w mengatakan, “Perut
itu gudang penyakit”. Perut adalah saluran penghadaman dan pencernaan manusia,
ibarat ruang yang terbuka begitu sahaja. Daripada mulut sehingga anus
sebenarnya saluran ini tidak memiliki sebarang pintu yang definitive sehingga
menjadi pintu masuk bagi pelbagai penyakit. Malah di hospital dan klinik,
secara umumnya gangguan saluran penghadaman berada di antara ‘Top 5’ penyakit
yang dideritai pesakit.
.
Puasa di bulan Ramadhan adalah peluang bagi kita mengatur
dan melatih diri secara spiritual. Dari segi kesihatan jasmani, ia adalah saat
di mana kita dpat merehatkan saluran penghadaman dan pencernaan kita. Disamping
puasa pada bulan Ramadhan, masih banyak lagi sunnah lain yang juga dianjurkan,
seperti puasa hari Isnin dan Khamis, ‘puasa Nabi Daud’ iaitu sehari berpuasa
dan sehari tidak, puasa enam hari di bulan syawal dan juga puasa puteh pada 13,
14 dan 15 bulan Hijriah. Selama puasa itu dijalankan dengan baik sesuai dengan
sunnah Rasulullah s.a.w. dan tidak berlaku adegan ‘balas dendam’ saat berbuka
puasa; maka kesanngupan kita berpuasa begitu bererti kita melakukan ‘energy
saving’ yang luar biasa dan menghayati 2 karakter terpuji iaitu syukur dan
sabar.
.
#SihatSecaraHolistik
#Puasa
#SetiapPenyakitAdaUbatnya
#TipSihat
#DeIeman
No comments:
Post a Comment